18 Tahun KPS Dentalcare: Dari Sebuah Klinik Gigi ke 12 Cawangan di Pantai Timur

KEMAMAN, 15 November 2026: KPS Dentalcare, atau lebih dikenali sebagai Klinik Pergigian Syarifah, hari ini meraikan ulang tahun penubuhannya yang ke-18, menandakan satu lagi pencapaian penting dalam perjalanan organisasi sebagai penyedia perkhidmatan penjagaan kesihatan pergigian swasta di Pantai Timur Malaysia. Bermula dengan sebuah klinik pergigian di Geliga, Kemaman, Terengganu pada tahun 2008, KPS Dentalcare kini berkembang menjadi rangkaian 12 cawangan yang beroperasi di Terengganu dan Pahang.

Perjalanan selama hampir dua dekad ini mencerminkan komitmen berterusan organisasi dalam memperluas akses kepada penjagaan kesihatan pergigian, meningkatkan mutu perkhidmatan serta memenuhi keperluan pesakit yang semakin berkembang.

Bermula dengan Sebuah Aspirasi pada Tahun 2008

KPS Dentalcare diasaskan oleh Dr. Syarifah Fazlina binti Seyed Fadzir, yang kini menerajui organisasi sebagai Pengarah Urusan. Penubuhan klinik pertama di Geliga, Kemaman pada tahun 2008 menjadi titik permulaan kepada usaha membangunkan sebuah organisasi penjagaan kesihatan pergigian yang mengutamakan kualiti rawatan, kepakaran profesional dan pengalaman pesakit yang mesra.

Seiring dengan perkembangan operasi dan keperluan masyarakat, KPS Dentalcare secara berperingkat memperluaskan rangkaian perkhidmatannya ke lokasi-lokasi baharu. Kini, KPS Dentalcare mempunyai 12 cawangan, merangkumi tujuh cawangan di Terengganu dan lima cawangan di Pahang, sekali gus memperkukuh kehadiran jenamanya dalam industri perkhidmatan pergigian swasta di Pantai Timur. Perkembangan ini bukan sahaja melambangkan pertumbuhan organisasi, malah mencerminkan usaha berterusan untuk menyediakan akses perkhidmatan pergigian yang lebih dekat dengan komuniti setempat.

18 Tahun Memperkukuh Kepercayaan dan Kualiti Perkhidmatan

Sepanjang 18 tahun penubuhannya, KPS Dentalcare terus memberikan tumpuan kepada penyampaian perkhidmatan yang profesional, komprehensif dan berorientasikan pesakit. Sebagai penyedia perkhidmatan pergigian sehenti, KPS Dentalcare menawarkan pelbagai pilihan rawatan yang merangkumi pergigian am, penjagaan pencegahan, rawatan ortodontik, pergigian estetik, restoratif, penggantian gigi serta pembedahan mulut.

Pendekatan ini membolehkan keperluan penjagaan kesihatan pergigian pesakit daripada pelbagai peringkat umur ditangani melalui rangkaian perkhidmatan yang menyeluruh, tertakluk pada pemeriksaan dan penilaian profesional doktor gigi. Dalam usaha memastikan pengalaman rawatan yang lebih baik, KPS Dentalcare turut memberikan penekanan terhadap komunikasi yang jelas, layanan mesra serta penjagaan yang mengambil kira keperluan setiap individu.

Komitmen tersebut disokong oleh kerjasama pasukan klinikal, pengurusan dan warga kerja yang memainkan peranan penting dalam memastikan kelancaran operasi serta kesinambungan perkhidmatan di seluruh rangkaian klinik.

Memacu Transformasi Pergigian Melalui Teknologi Moden

Selaras dengan perkembangan industri pergigian, KPS Dentalcare terus memberikan perhatian terhadap penggunaan teknologi moden sebagai sebahagian daripada strategi meningkatkan keupayaan perkhidmatannya. Antara teknologi yang digunakan di cawangan terpilih termasuk Cone Beam Computed Tomography (CBCT), Intraoral Scanner, MetiSmile 3D Face Scanner, teknologi percetakan 3D serta sistem AIRFLOW untuk Guided Biofilm Therapy (GBT). Teknologi pengimejan dan pengimbasan digital membantu doktor gigi mendapatkan maklumat yang lebih terperinci bagi menyokong pemeriksaan, diagnosis serta perancangan rawatan mengikut kesesuaian klinikal.

Sementara itu, penggunaan teknologi seperti AIRFLOW menyokong pendekatan penjagaan kebersihan mulut dan pengurusan biofilm pergigian berdasarkan penilaian serta keperluan pesakit. Bagi KPS Dentalcare, penerapan teknologi bukan sekadar usaha memodenkan kemudahan klinik, tetapi merupakan sebahagian daripada komitmen untuk menyokong kepakaran profesional serta mempertingkatkan pengalaman pesakit. Gabungan antara teknologi, kemahiran klinikal dan pendekatan berorientasikan pesakit akan terus menjadi asas kepada pembangunan perkhidmatan KPS Dentalcare pada masa hadapan.

KPS Dentalcare turut menumpukan perhatian kepada hala tuju utama iaitu "TO BE PREFERRED DENTAL 1 STOP CENTRE POWERED BY TECHNOLOGY”, beraspirasi menjadi pusat pergigian sehenti pilihan yang diperkasakan teknologi di pantai timur meliputi Terengganu dan Pahang. Visi ini mencerminkan matlamat jangka panjang organisasi untuk menggabungkan perkhidmatan pergigian komprehensif, kepakaran yang dipercayai serta pengalaman pesakit yang mesra dalam satu ekosistem penjagaan pergigian yang progresif disokong dengan misi memperkukuhkan keupayaan organisasi dalam beberapa aspek utama, termasuk pembangunan kompetensi warga kerja, penambahbaikan mutu perkhidmatan, penerapan teknologi pergigian dan pemantapan pengalaman pesakit.

Pendekatan ini menjadi sebahagian daripada usaha memastikan organisasi terus relevan dan responsif terhadap perubahan keperluan masyarakat serta perkembangan industri penjagaan kesihatan pergigian.

18 Tahun Perjalanan, Satu Komitmen untuk Masa Hadapan

Sambutan ulang tahun ke-18 KPS Dentalcare bukan sekadar memperingati sejarah penubuhan syarikat, malah menjadi kesempatan untuk menghargai kepercayaan para pesakit, sokongan masyarakat serta komitmen seluruh warga kerja yang telah menyumbang kepada perkembangan organisasi sejak tahun 2008. Daripada sebuah klinik di Geliga kepada rangkaian 12 cawangan di dua negeri, setiap fasa perkembangan membawa tanggungjawab yang lebih besar untuk terus menambah baik penyampaian perkhidmatan pergigian kepada masyarakat.

Selamat menyambut ulang tahun penubuhannya yang ke-18 kepada KPS Dentalcare (Klinik Pergigian Syarifah)!

Comments

Popular Posts